Umpan untuk memancing di sungai yang pernah aku guna...
Sudah hampir setahun joran aku tak keluar-keluar dari dalam bonet kereta. Tak ada kesempatan. Kalau ada kesempatan pun, mungkin abang-abang aku tak sempat. Kalau semuanya ada kesempatan pun dan sudah berada di kampung pun, belum tentu boleh pergi kalau hari hujan atau air sungai 'tidak bagus'... atau Mama menyatakan rasa bosan sebab seharian menunggu aku memancing.
| imej: google |
Semasa aku kecil dulu, pada zaman itu, Ikan Baung menjadi kegilaan kaki pancing di sekitar Sungai Perak dan Kg. Gajah. Dan umpan kegemaran Baung ialah ulat yang menghuni di dalam batang kelapa atau kelapa sawit atau nipah yang membusuk. Ia adalah ulat kepada sejenis kumbang. Hendak mencucuk mata kail kenalah berhati-hati kerana sekali dicucuk, lemak dan air tubuh ulat itu akan keluar dan menjadi kempis. Bila terlalu kempis, ulat akan tertanggal dari mata kail ketika di dalam sungai. Kadang-kadang kami ikat ulat itu dengan getah gelang supaya ia tak terlucut.
| imej: google |
Dewasa ini, kami selalu gunakan Buah Kelapa Sawit sebagai umpan pula. Selain ianya lebih mudah dibawa atau disimpan, ia juga mudah untuk didapati. Umpan sawit ini lebih kepada untuk ikan Lampam, Patin, Ara-Ara, Jelawat dan pelbagai jenis lagi termasuklah Kaloi. Biasanya kami akan habiskan sebiji sawit itu untuk sekali balingan. Ada pelbagai cara memasang umpan sawit, ianya bergantung kepada jenis ikan dan juga mata kail. Yang biasa kami buat ialah 2 cara iaitu 'cucuk satay' dan sebiji terus.
Cucuk Satay - buah sawit dihiris isi kuningnya sebesar kuku. Kemudian, cucukkan mata kail menembusi hirisan tadi dan tolak hirisan tadi naik sehingga ke tali perambut. Cucuk lagi dalan 10-15 hirisan lagi sehingga menjadi seperti satay dan menutupi mata kail. Biasanya ikan yang besar-besar yang berselera makan satay biji sawit ni dan biasanya ia akan telan sekaligus.
Sebiji - Biasanya kail menggunakan mata kail yang banyak. 3-5 mata kail yang kecik-kecil bersaiz 4-6 atau mata rawai. Setiap mata kail tadi dicucukkan pada kulit sawit seperti orang sarkas cucuk mata kail atau besi gelang pada kulit badan tu. Cucukkan sekeliling buah tadi. Apabila ikan bermulut kecil cuba mencubit buah tadi, akan tersangkut pada salah satu mata kail.
| imej: google |
Ada juga yang menggunakan umpan Cengkerik. Tapi aku tak pernah cuba sebab nak tangkap cengkerik adalah satu hal yang sungguh leceh kecuali membelinya di kedai-kedai haiwan peliharaan. Cara mencucuk cengkerik pada mata kail adalah sama seperti umpan Ulat Sagu/ Ulat Kelapa Sawit. Ikan-ikan yang suka kepada umpan ini ialah ikan-ikan pemangsa.
Dan..... umpan yang paling universal ialah umpan cacing tanah!
Segala jenis ikan suka pada cacing tanah, dari sekecil-kecil ikan sehinggalah sebesar-besar ikan. Tetapi, untuk ikan yang besar-besar, beberapa ekor cacing diperlukan agar 'gumpalan' umpan itu lebih besar dan 'bau cacing' itu dapat dihidu oleh ikan yang besar-besar di lubuk yang dalam. Kami pernah juga memancing udang galah menggunakan umpan cacing tanah, selain anak udang kertas sebagai umpan.
Oleh kerana cacing adalah umpan yang universal, biasanya ikan-ikan yang kami tak mahu yang memakannya seperti 'Baguk Tangga' atau Ikan Duri (sungai) dan seluang yang kecil-kecil.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar